Anak sulung anda perempuan dan anda tidak mempunyai banyak masalah
misalnya mengajar dia membaca dan dia juga ikut arahan anda tanpa banyak
membantah. Bagaimanapun, situasi ini tidak sama berlaku pada anak kedua
anda, lelaki. Dan anda mula membanding-bandingkan si adik lelaki ini
dengan kakaknya.
Karakter mereka jauh berbeza dan anda mendapati
lebih lelah kala mengajar si adik! Kesannya, ramai ibu yang menganggap
anak lelaki mereka itu tidak dengar kata, nakal, kurang gemar belajar,
banyak bermain dan kurang tumpuan kepada sesuatu perkara.
Pa&Ma
membawa para ibu mendalami karakter anak lelaki dan perempuan. Ini
penting bagi memastikan para ibu memahami karakter mereka agar dapat
mendidik si hero kesayangan dengan cara lebih berkesan. Ingat, jangan
samakan anak lelaki dengan anak perempuan!
Perbezaan ketara antara anak lelaki dengan anak perempuan :
Lelaki
•
Anak lelaki sangat suka memerhatikan pergerakan tubuh manusia. Mereka
menggemari sesuatu yang dinamik dan anak lelaki lebih cepat pandai
berjalan.
• Sejak dari kecil, jika diperhatikan bayi lelaki lebih
kerap menggeliat, menendang kakinya dan bergerak lebih aktif berbanding
bayi perempuan.
• Anak lelaki lebih mudah tersentuh hatinya
berbanding anak perempuan. Memujuk anak lelaki yang menangis adalah
lebih lama berbanding anak perempuan.
• Anak lelaki juga lebih
menyukai kehadiran orang lain, terutama kelompok yang seusia dengannya.
Tidak hairanlah, apabila menginjak dewasa mereka gemar membentuk
persahabatan secara berkumpulan.
• Dalam satu kajian yang dilakukan
kepada bayi berusia 3 hingga 12 bulan mendapati, bayi lelaki lebih
pantas memberikan respons positif kepada suara-suara keras. Manakala
bayi perempuan pula menunjukkan reaksi takut bila mendengar
bunyi-bunyian yang agak keras dan garang itu. Ini jelas membuktikan
bahawa anak lelaki lebih berani berbanding perempuan.
Perempuan
•
Walaupun baru lahir, bayi perempuan akan cuba menjaga kontak mata
dengan ibunya. Dan dalam komunikasi pula, anak perempuan lebih cepat
mengeluarkan kata-kata pertama berbanding anak lelaki.
• Lebih bijak
menggunakan tangannya. Jadi tidak hairanlah apabila anak perempuan
dilihat lebih cepat bermain dengan pelbagai alat permainan maenggunakan
senduk dan garpu walaupun dalam usia yang terlalu kecil dan lebih cepat
mampu menulis dengan rapi.
• Anak perempuan juga lebih peka mengesan
suara atau bunyi-bunyian. Anak perempuan lebih tertarik dengan suara
manusia berbanding bunyi lain. Cuba anda bunyikan loceng kepada sepasang
bayi berlainan jantina. Anda tidak dapat melihat perbezaan yang jelas
antara respons bayi lelaki degan bayi perempuan. Tapi, cuba anda
mengeluarkan suara seperti sedang berbual. Bayi perempuan akan
menunjukkan minatnya untuk berbual dengan anda.
• Anak perempuan juga
lebih tertarik untuk memerhatikan wajah seseorang, khususnya wajah
lembut para ibu. Mereka lebih bijak membaca emosi orang lain.
Keperluan Si Anak Lelaki
Dalam
budaya masyarakat kita hari ini, anak lelaki sering dinasihatkan agar
tampil berani, selalu menang dan tidak boleh menangis. Jadi siapa yang
harus disalahkan jika si anak lelaki bersikap agak kasar dan lasak?
Sebagai ibu bapa, anda boleh menyampaikan nilai-nilai yang ingin
ditanamkan dalam diri anak anda secara tidak langsung atau secara
perkongsian pengalaman.
Awalnya, anak lelaki memiliki sikap
terbuka yang sama seperti anak perempuan. Sebenarnya nilai-nilai positif
mudah disampaikan kepada anak-anak yang masih kecil. Contohnya, ketika
anak lelaki anda sedang bersedih, anda boleh mendekatinya dengan
berkata; "Kenapa abang sedih? Ibu rasa lega kalau abang nak berkongsi
masalah dengan ibu. Mungkin ibu boleh tolong?"
Hanya dengan
dialog sedemikian, anda boleh mengenali emosinya sekali gus mengajarnya
untuk saling berkongsi. Persiapkan anak lelaki anda untuk menghadapi
pelbagai tekanan sosial sepanjang hidupnya, terutamanya yang berkaitan
dengan tuntutan masyarakat agar senantiasa menjadi individu yang tegar.
Jadi, penanaman nilai-nilai positif ini harus terus diperkukuhkan
sehinggalah si anak dewasa.
Secara perlahan-lahan buka peluang
kepada anak lelaki anda untuk berbicara tanpa dibayangi sikap
terburu-buru. Mungkin anda boleh mengambil kesempatan untuk berbual
sewaktu anak anda baru pulang dari sekolah atau sewaktu menghantarnya ke
sekolah.
Rutin ringkas ini akan memberi kesempatan kepada anak lelaki anda untuk belajar bersikap terbuka.
Keperluan Si Anak Perempuan
Sikap saling berkongsi antara ibu dengan anak perempuannya menunjukkan langkah awal memupuk keakraban.
Kemampuan
khusus anak perempuan atau ibunya untuk mengekspresikan
perasaan-perasaan akan membantu mereka menjadi dekat antara satu sama
lain. Anak perempuan akan mendapat pengalaman secara langsung dari
ibunya dalam menghadapi pelbagai persoalan, seperti mengendalikan
klik-klik sosial, meraih simpati orang lain dan sebagainya.
Sewaktu
tahun-tahun pertama, ketika si manja sedang membangun identiti diri
mengikut kesesuaian jantinanya (biasanya antara usia empat hingga enam
tahun). Anak perempuan akan mengamati setiap gerak-geri ibunya sehingga
dirinya boleh tampil seperti ibunya juga.
Biasanya masalah akan
muncul jika proses identifikasi berlaku begitu kuat. Ini akan
menyebabkan si ibu beranggapan dirinya benar-benar mengenali puterinya
itu secara luar dan dalam. Akibatnya, si ibu tidak boleh lagi menjadi
pendengar yang baik.
Ketika anak perempuan meningkat dewasa,
pemerhatiannya akan berubah menjadi kritikan. Sebagai ibu anda tidak
boleh silap dalam menilai kritikan yang disuarakan oleh si anak. Anak
perempuan anda gemar menilai apa sahaja yang dilihat salah pada
pandangan matanya. Dengan melepaskan emosinya kepada si ibu, anak
perempuan berharap ia boleh difahami.
Didikan Anak Lelaki Dan Perempuan
1.
Memang ada perbezaan ukuran bahagian otak antara anak lelaki dan
perempuan. Faktor inilah yang mempengaruhi cara kerja otak mereka,
misalnya pada kemampuan istimewa dan bahasa. Anak lelaki cenderung diam
ketika mempelajari sesuatu, sementara anak perempuan pula lebih mudah
faham jika melakukannya sambil bercakap.
2. Mengikut penelitian
yang dilakukan oleh penulis buku Boys and Girls Learn
Differently!,Michael Gurian, anak lelaki memiliki lebih sedikit saraf
yang berhubung dengan emosi jika dibandingkan dengan anak perempuan.
Kebanyakan anak perempuan lebih sensitif berbanding lelaki.
3.
Secara psikologi anak di usia yang masih muda telah pun memiliki
kesedaran dalam memilih permainan kegemarannya. Apabila dihubungkan
dengan struktur otak dan saraf, anak perempuan yang lebih peka secara
emosi berbanding anak lelaki akan memilih permainan yang memungkinkan
dirinya berinteraksi, seperti anak patung. Sebaliknya, lelaki lebih
tertarik dengan mainan yang berunsur kekuatan dan persaingan, seperti
bermain bola atau ‘perang-perang’.
Namun, jika si anak memilih
permainan di luar tradisi, ibu bapa tidak perlu bimbang. Bukan salah
pada permainan yang tidak sesuai dengan gender si anak, tapi ibu bapa
perlu mengajar si anak agar memahami tentang identiti seksualnya.
sumber:
http://pama.karangkraf.com/kanak-kanak/lelaki-vs-perempuan-apa-yang-perlu-anda-tahu-1.36160
Terima Kasih