Jika dibandingkan dengan sperma X, sperma Y lebih kecil, bergerak lebih pantas dan lebih aktif dalam persekitaran yang beralkali akan tetapi tidak mampu bertahan lama terutamanya dalam medium berasid. Sperma X pula adalah lebih besar saiznya dan bergerak agak pasif dan lambat, walaubagaimanapun ia boleh hidup lebih lama dan mampu bertahan dalam persekitaran yang berasid.
Merujuk kepada sifat sperma Y yang pertama, ia kecil dan bergerak sangat pantas. Disyorkan persetubuhan ditangguhkan dan dilakukan tepat pada hari ovulasi. Sekiranya ova telah dikeluarkan, maka sperma Y akan sampai paling awal ke ova dan berjaya mempersenyawakan ova. Walaubagaimana pun, sekiranya persetubuhan dilakukan 2-4 hari lebih awal dari ovulasi, maka sperma Y telah pun mati dan sperma X yang mampu bertahan lama akan sampai ke ova yang baru dikeluarkan itu dan berjaya mempersenyawakannya.
Posisi penetrasi semasa ejakulasi dilakukan juga boleh memainkan peranan, penetrasi yang dalam serta ejakulasi yang sangat hampir ke pintu rahim akan membantu sperma Y agar sampai lebih awal ke ova kerana pergerakannya yang lebih pantas itu. Sekiranya penetrasi tidak begitu dalam semasa ejakulasi, sperma terpaksa melalui perjalanan yang lebih jauh dan ini memberikan sedikit kelebihan kepada sperma X kerana ia mampu tahan lebih lama jika perjalanannya lebih jauh.
Merujuk pada sifat sperma Y yang kedua pula, ia bergerak lebih aktif dalam persekitaran beralkali dan tidak mampu tahan lama terutamanya dalam persekitaran berasid. Mencuci di bahagian dalam faraj secara "vaginal douching" menggunakan air yang beralkali contohnya campuran air bersama sodium bikarbonat(serbuk penaik) 30 minit sebelum melakukan persetubuhan dapat meningkatkan tahap kealkalian faraj agar memberi kelebihan kepada sperma Y dan membantunya tahan lebih lama.
Faktor pemakanan secara teori juga boleh meningkatkan tahap kealkalian didalam faraj, anda perlu makan lebih banyak makanan yang meningkatkan kealkalian badan seperti sayur-sayuran seperti alfalfa, brocolli, kobis, kobis cina, saderi, timun, terung, bawang putih, salad, cendawan, bawang, bayam, labu, spirulina, keledek, tomato. Buah-buahan seperti epal, pisang, kelapa segar, buah kurma dan buah tin kering, tembikai, tembikai susu, pear, kismis, strawberry, buah-buahan sitrus, almond, buah berangan, rempah-ratus seperti rempah kari, kayu manis, halia, garam laut, herba-herba, jus buah-buahan, jus sayur-sayuran, air mineral dan banyak lagi. Walaupun buah-buahan sitrus berasa masam tetapi ia bertindak meningkatkan kealkalian badan.
Anda juga perlu mengurangkan makanan yang meningkatkan tahap keasidan dalam badan seperti jagung, oat,roti, nasi, spaghetti, macaroni, buah zaitun, plum, prune, pelbagai jenis kekacang seperti kacang soya, kacang kuda, kacang dhal, kacang merah, hasil tenusu seperti mentega, keju, aiskrim, mentega kacang, gajus, walnut, daging merah, sardin, kopi, minuman bergas, coca cola dan banyak lagi.
Anda tidak perlu makan semuanya dari kategori makanan beralkali, cuma pastikan makanan yang diambil lebih daripada kategori beralkali. Ini mungkin perlu sedikit penyesuaian dan kita perlu belajar makan makanan yang kita kurang gemari. Perlu diingatkan sekali lagi disini, setiap perancangan dan usaha perlulah disertakan dengan doa dan tawakal. Akhir kata, selamat mencuba dan jikalau ada apa-apa persoalan, anda boleh ajukan kepada saya diruangan komen dibawah.
Dipetik dari: http://drroslin.blogspot.com